 |  |  |
Destinasi Pelancongan |
Terdapat pelbagai daya penarik di Malaysia. Misalnya, adanya destinasi pelancangan berasaskan pertanian, alam semulajadi, kebudayaan, makanan, tempat-tempat bersejarah, pusat membeli-belah, taman-taman tema, pantai, pulau, resort tanah tinggi dan taman-taman negara. Banyak pengetahuan yang dapat para pelancong timba semasa melancong.
|
|
 |
Bagi yang bersemangat kembara menjelajah taman hutan semulajadi seperti Taman Negara Pahang, Taman Kinabalu dan Taman Bako pasti menyeronokkan. Terokalah gua raksasa Mulu dan Niah di Sarawak. Anda akan menjumpai ribuan kelawar berterbangan dan sungai bawah tanah yang penuh misteri. Dakilah Gunung Kinabalu, gunung tertinggi di Malaysia. |
Aktiviti seperti berkanu, berenang, memancing , berfoto, bermain jet ski, meluncur atas air dengan bot laju dan merentas hutan boleh didapati di tasik-tasik di negara Malaysia ini.
Taman tema merupakan tempat yang sesuai bagi anda yang gemar beriadah sambil berfantasi. Anda boleh bermain Roller Coaster, gelungsur air, Magic Carpet, keretapi mini, teksi air, permainan komputer fantasi, rumah salji, bermain ombak buatan manusia dan banyak lagi di taman- taman tema. Jika anda ingin menikmati keindahan bandaraya, teroponglah dari menara Kuala Lumpur atau menara Komtar Pulau Pinang.
Untuk mengenali masyarakat Malaysia dengan lebih dekat, para pelancong boleh memilih untuk menginap bersama keluarga angkat sama ada keluarga petani, nelayan, pembuat wau, tukang perak, pengilang batik atau pembuat gasing. Anda berpeluang untuk turut serta dalam aktiviti harian mereka seperti turun menanam atau menuai padi, menoreh getah, membuat bubu ikan dan mempelajari pelbagai permainan tradisional seperti silat dan sepak takraw.

|
|  |
Sebut sahaja pantai-pantai di sepanjang 700 kilometer di persisir Pantai Timur dan ratusan pulau-pulau seperti Pulau Langkawi, Pulau Perhentian, Pulau Pangkor, Pulau Manukan, pasti anda akan terbayang airnya yang jernih, gigi pantai yang memutih dan hidupan laut yang mempersonakan. Anda juga boleh bersnokling, berkayak atau membina istana pasir. Bagi yang lebih berani dan cekap, cubalah berenang ke dasar lautan dan lihat sendiri betapa indahnya hiduran dasar laut.
|
 |
Dimanakah anda boleh melihat A Famosa, Christ Church, Perigi Hang Li Poh, Makam Hang Tuah, Hang Jebat dan Hang Kasturi, Masjid Tengkera, Makam Tun Meja dan Warisan Baba dan Nyonya? Semuanya terdapat di Melaka. Kerana itulah Melaka dikenali sebagai bandaraya bersejarah. Jika anda ingin melihat peninggalan sejarah, Melaka adalah destinasi yang tepat untuk dilawati. Jangan lupa kubu Ngah Ibrahim di Perak dan Kubu Kempas di Negeri Sembilan serta Tugu Peringatan di Pasir Salak.

Jika anda ingin bersama keluarga, saudara atau kawan-kawan membeli-belah, bandaraya Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Langkawi adalah syurga membeli-belah dengan harga yang berpatutan.

Terdapat pelbagai jenis penginapan dari hotel bertaraf mewah hingga sederhana disediakan untuk pelancong. Para pelancong boleh menikmati segala kemudahan dan perkhidmatan semasa menginap di hotel atau resort yang anda pilih.
|
|
|